Tuesday, February 22, 2011

JAWAPAN ARTIKEL "JANGAN GUNAKAN PERKATAAN SALAM"

Salam,

Melalui blog Kak  MelurJelita , alhamdulillah saya telah terjumpa jawapan bagi persoalan ini oleh Ustaz Mohd Fadli Yusof . Sebelum ini saya ada pernah terbaca di blog dan menerima sms mengenai isu penggunaan perkataan Salam ini. Alhamdulliah penerangan atau jawapan dari Ustaz Mohd Fadli ini telah menghuraikan kekeliruan ini.

Saya kongsikan di sini jawapan oleh Ustaz Mohd Fadli Yusof untuk renungan bersama.


Jawapan Saya kepada Artikel JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"


by Mohd Fadli Yusof on Monday, February 21, 2011 at 11:55am

Assalamualaikum, Beberapa hari kebelakangan ini tersebar artikel bertajuk JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM", yang dipanjangkan oleh orang yang berlainan. (juga di sini)

Mengapa sampai melarang menggunakan perkataan SALAM?

Perkataan SALAM atau AS SALAM tiada salahnya, malah merupakan salah satu Asmaul Husna. Saya tidak tahu siapa penulis asal artikel ini, yang sangat mengelirukan, kerana ramai yang telah copy & paste dan menyebarkannya. Yang pasti ia bukan bersumber dari Ustaz Zawawi, hanya kata-kata beliau digunakan dalam artikel ini.

Terjemahan ayatnya pun tidak lengkap...terus saja dimaksudkan SALAM itu sebagai SELAMAT TINGGAL...lalu diajak semua orang agar JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM". 

Penulisnya menulis: 
JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".

Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)


فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! " (Az-Zukhruf 43:89)

Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, "salam" bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan. 

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT. 

سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ۬

Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58) 

Sebagai contoh, saya memetik beberapa ayat Al Quran:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا 

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa' 4:86)

إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَـٰمً۬ا قَالَ إِنَّا مِنكُمۡ وَجِلُونَ

Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". (Al-Hijr 15:52)

 سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ۬ فِى ٱلۡعَـٰلَمِينَ  

"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (As-Saaffaat 37:79)

سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (As-Saaffaat 37:109)

Penulis-penulis artikel ini menggunakan kenyataan Al Fadhil Ustaz Zawawi sebagai menguatkan hujahnya, sedangkan tiada kaitan perenggan yang pertama dengan kenyataan Ustaz Zawawi, malah menggunakan gambar Ustaz Zawawi lagi...sangat mengelirukan.

Kita sering berselawat dan memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan, 

الصلوة والسلام عليك يا رسول الله، الصلوة والسلام عليك يا حبيب الله


Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Rasulullah..
Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Kekasih Allah..

Allah SWT memerintahkan kita berselawat dan mengucap SALAM kepada Rasulullah SAW, maksud firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah SALAM sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab 33:56)

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” [Riwayat Al-Tabrani]

Adakah SALAM di sini bermaksud "SELAMAT TINGGAL"?

p/s: Untuk mendapat ayat-ayat yang menggunakan perkataan SALAM, sila layari www.surah.my, cari ayat guna keyword SALAM, tidak kurang 20 ayat terdapat perkataan SALAM.

Monday, February 21, 2011

RINDU MENGGEBU-GEBU

Salam,

Buat pertama kalinya, saya berjauhan dengan Awal dan Ibnu untuk keluar bertugas di luar kawasan. Sebelum ini, bila saja nama kena out station, saya akan "usung" dua-dua buah hati pengarang jantung saya sekali..

Sebelum ini, dua minggu di Kuantan, dua minggu di Langkawi dan baru-baru ni dua minggu di KL... saya tanpa gagal akan import khidmat mak dan ayah serta adik untuk turut serta berout-station jaga HERO dua orang ni..

Tapi kali ini, empat hari saya di KL, sehingga Khamis... dua-dua boys tinggal di rumah, dengan ayahnya, dan tentu sekali tok dan tokwan serta acik setia menemani.

Wahai hati, baru sehari.. rindunya dah tak terperi. Menggebu-gebu... mengasak-ngasak,menyesak dada.. especially pada Ibnu yang malam-malam asik nak mengempeng...

Pada Awal pun tak pernah kurang juga.... rindu colotehnya..

Rindu pada dua-dua HERO ini... dan rindu juga pada ayah mereka... :-) Tak betah rasanya hari Mama tanpa kalian bertiga...

Huhuhu...

Friday, February 18, 2011

KENANGAN ITU MENERPA...

Salam,

Semalam saya dan beberapa rakan dari organisasi tempat kami bertugas telah diarahkan untuk mengambil ujian Bahasa Inggeris iaitu AUSTRALIAN DEFENCE FORCE ENGLISH LANGUAGE PROFILING SYSTEM  atau ADFELPS. Ujian ini dilaksanakan bagi melihat kemampuan pengusaan Bahasa Inggeris bagi setiap penjawat dalam organisasi di tempat saya bertugas. Keputusan ujian tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kerjaya, cumanya kepada yang lemah penguasannya mungkin organisasi akan membuat perancangan untuk peningkatan memandangkan kepentingan pengusaan bahasa ini selain daripada bahasa Ibunda tercinta. Ujian meliputi aspek Reading, Listening, Writing dan Speaking.

Alhamdulillah, walaupun keputusannya masih belum diketahui, sekurangnya saya telah berjaya menduduki ujian ini dan dapat menilai dan meletak kemampuan tahap penguasaan Bahasa Inggeris saya.

Semalam, sewaktu ujian terakhir (Speaking), tiba-tiba kenangan itu menerpa.. rasa rindu mengasak-ngasak di dada saya.. "menggebu-gebu". Rentetan tester meminta untuk menceritakan mengenai pengalaman manis atau sedih yang tak dapat dilupakan sebagai warm up sesi Speaking waktu itu. Sewaktu menceritakan perkara paling sedih yang pernah saya lalui, saya hampir mengalirkan air mata... Pengalaman itu ialah pada detik-detik kelahiranYusuf, baby pertama saya yang meninggal dunia selepas 5 minit menyedut udara luar dari rahim saya.

Dan semalam hingga hari ini, perasaan saya terbawa-bawa... rindu pada Yusuf mengasak jantung hati saya... teringat-ingat lagi saat nurse menyerahkan Yusuf dalam dakapan saya... masa itu, Yusuf sudah tiada... Saya peluk dan cium Yusuf sepuasnya dengan derai air mata....Yusuf yang 41 minggu berada dalam rahim saya, Yusuf yang aktif menendang-nendang perut saya dan Yusuf yang sentiasa menggembirakan saya dengan hanya gerakan yang bisa dirasa... Saya redha dengan ketentuanNya, saya redha Yusuf pergi... cuma sesekali rindu itu datang seperti perasaan saya pada hari ini..

Tuesday, February 15, 2011

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL

Ya Allah, 
Jadikanlah Akhlak dan Pekerti Kami, Anak-Anak, Keluarga dan Sahabat-Sahabat Kami, Seindah dan Setinggi Akhlak dan Pekerti Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.. AMIN.

RASULLULLAH
(Nasyid Oleh: HIJJAZ)


Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

Sunday, February 6, 2011

AWAL - "DIAPER FREE"-

Salam,

Bermula Selasa lalu hingga hari ini, sudah enam hari Awal melalui fasa-fasa untuk jadi Big Boy. Big Boy yang sudah tidak lagi pakai diaper, sudah pandai  "buang air" sendiri di tandas.

Hujung bulan ini (26hb) genap umur Awal 3 tahun 4 bulan, atau mengikut tahunnya sudah "ampat tahun". Sebelum ini pernah juga sewaktu Awal hampir memasuki usia 3 tahun, saya latih dia untuk diaper free, untuk jadi Big Boy ( big boy mesti dah tak pakai diaper kata saya padanya :-). Tetapi oleh kerana kurang "istiqomah" daripada saya sendiri untuk training ini.. usaha itu tidak berjaya.

Baru-baru ini, Awal kena ruam lampin yang sangat teruk kerana selama beberapa hari , pengasuh telah memakaikan diaper jenama lain (bukan Awal punya) sewaktu di TASKA. Kes tertukar diaper, sehingga saya menyangka bekalan diapernya di TASKA sudah kehabisan (rupanya tidak). Oleh kerana kesan garu yang keterlaluan, bahagian "lampin" Awal "cedera parah". Setiap kali mandi atau membuang air, Awal akan menangis, dan refuse untuk terkena air atau di lap bahagian yang luka.

Namun, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Dalam kesakitan tersebut dan setelah puas dipujuk, Awal akhirnya rela untuk tidak dipakaikan diaper. Sebelum itu, walaupun puas dipujuk, walaupun dalam kesakitan, Awal refuse dan tidak menerima idea untuk dia hanya ber"underwear". Dia akan menangis selagi tidak dipakaikan diaper. Mungkin kerana terasa "kosong" tanpa diaper dan mungkin agak "kegelian" apabila seluar bergesal dengan "birdie"nya.

Kesempatan saya ambil pada cuti panjang sempena Chinese Nu Year ini. Bermula dengan cloth diaper, saya perlahan memujuk Awal untuk tidak berdiaper. "Underwear" doraemon merupakan umpan seterusnya. Alhamdulillah.. dalam tempoh itu, hanya dua kali Awal terkucil. Saya akan kerap bertanya samada dia ingin ke tandas. Setengah jam ke sejam sekali mengikut kekerapan Awal minum. Setiap kali Awal menyuarakan hasrat untuk menyelesaikan "bussiness"nya saya berlarian bersama Awal ke tandas. Aktiviti ke tandas menjadi satu keseronokkan buat dia. Selesai "bussiness"nya Awal di reward dengan kata-kata "Yeayyy! Awal Good Boy!". Awal pulak akan akan tersengih-sengih dan cakap " Mama, Awal dah pandai kencing sendiri la Mama''. Hhheheheheh... 

Sebelum ini, saya pernah terbaca untuk ibubapa memberikan tempoh 21 hari kepada anak kecil dalam setiap perubahan yang ingin dilakukan. Dan kebiasaanya dalam tempoh 7 hari kanak-kanak akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Yang paling penting ialah kesabaran dan kesungguhan daripada ibubapa sendiri. Dalam masa yang sama  perlu menanamkan keyakinan terhadap kemampuan dan kebolehan anak tersebut. Paling penting anak sudah bersedia.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan "insiden" yang tidak diingini di malam yang boleh mengganggu gugat mimpi-mimpi indah mamanya, sebelum tidur, selesai urusan di tandas, Awal akan dipakaikan cloth diaper.. Hmmm, bagi masa untuk dia. Mudah-mudahan selepas ini, training untuk tidak berdiaper sewaktu tidur juga akan berjaya. 

Lid: Excited melalui fasa-fasa ini.

Tuesday, February 1, 2011

TERIMA KASIH SUAMI

Salam Dinihari,


Hari ini saya "bertugas".. ini bermakna saya memulakan kerja  jam 8 pagi tadi dan akan tamat pada esok pagi jam 8 pagi.. dan meneruskan kerja seperti biasa hingga jam 5 petang. Ini perkara biasa dalam tuntutan kerjaya saya, dan saya telah terbiasa dengan keadaan ini.. Tugasan ini atau " bertugas" ini kebiasaannya dua atau tiga kali sebulan sahaja mengikut giliran.


Itu bukan fokus utama entry ini.. Subjek pokoknya, sepanjang bertugas mengikut giliran ini, si suami tercinta tidak pernah bergilir dengan sesiapa menjaga dua anak kecil saya, Awal dan Ibnu, di sepanjang ketiadaan saya. Walaupun puratanya sebulan hanya 3 kali, pengorbanan ini amat besar ertinya.


Suamilah yang bersekang mata menjaga dan menguruskan dua anak ini.. Mengambil mereka dari TASKA, melayan karenah, bermain, menyuap makan, menidurkan mereka, mendengar rengekan "nak pegi mama", dan yang paling mencabar sekali, menidurkan semula si kecil Ibnu apabila dia terjaga mencari mamanya di tengah malam buta.. dan suami terpaksa melalui "amokan" Ibnu ini sekurang-kurangnya 3 kali sebelum pagi hari, sebelum menghantar mereka ke TASKA lagi.


Buat Suamiku, Rahimi bin Abdul Rahman


Terima kasih suami...
Kerana amat menyayangi
Kerana amat mencintai
Kerana amat mengasihi


Terima kasih suami...
Kerana sentiasa memahami
Kerana sentiasa mengerti
Kerana sentiasa menemani


Terima kasih suami...
Kerana selalu di sisi
Kerana sentiasa memberi
Kerana menghadirkan seri


Terima kasih atas keluasan hatimu, menerimaku 
Terima kasih atas segala pengorbananmu
Terima kasih atas tiap titip doamu untukku
Terima kasih kerana sentiasa mendokong tiap langkahku
Terima kasih atas pengertian yang tak pernah henti darimu
Terima kasih atas ketulusan cintamu


Suamiku...
Betapa aku berterima kasih
Betapa aku bersyukur 
Allah telah menghadirkan insan istimewa sepertimu dalam kamus hidupku
Suamiku...
Tiada kata yang cukup untuk menzahirkan perasaanku
Tiada ayat yang  puitis untuk menggambarkan betapa terima kasihnya aku
Namun
Walaupun hanya coretan ini
Mohon terimalah
Ungkapan Terima Kasihku...


Lid: Alhamdulillah, moga kasih dan cinta ini sampai akhir nanti.