Salam,
Semalam kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah mengumumkan pengharaman penjualan dan pasaran botol susu bayi polikarbonat yang mempunyai Bisphenol A berkuatkuasa mulai 1 Mac 2012. Masa berita ini berkumandang di TV3, saya sedang memasak didapur. Mr Hubby cepat2 panggil untuk tengok TV masa tu.
Memang diakui isu botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA bukan lagi isu baru. Tetapi tak dinafikan juga, walaupun ini bukan perkara baru, ada ramai (terutama ibubapa) yang tidak menyedari dan mengetahui bahaya ini kepada bayi-bayi yang menyusu menerusi botol ini.
Disini saya kongsikan maklumat daripada Laman Web Rasmi Kementerian Kesihatan mengenai jawapan kepada soalan-soalan lazim mengenai isu ini.
PENGHARAMAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT YANG MENGANDUNGI BISPHENOL A
1. APAKAH ITU POLIKARBONAT?
Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi.
2. APA ITU BISPHENOL A (BPA)?
BPA ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar.
3. BAGAIMANA MENGENALI BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Botol susu bayi polikarbonat ini boleh dikenalpasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi seperti berikut:
- Nombor 7
- Nombor 7 dan PC
- Nombor 7 dan ‘other’
Botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau ‘Bebas BPA’.
4. APAKAH KESAN BPA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA?
BPA diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon yang menyebabkan gangguan sistem fungsi tubuh.
5. BAGAIMANAKAH BAYI BOLEH TERDEDAH DENGAN BPA MELALUI BOTOL SUSU POLIKARBONAT?
BPA boleh berpindah daripada botol susu polikarbonat ke dalam susu bayi seperti berikut:
- Permukaan dalam botol susu bayi yang calar atau rosak.
- Air panas dimasukkan terus ke dalam botol susu bayi.
6. APAKAH LANGKAH PROAKTIF KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DALAM MENANGANI ISU INI?
- KKM mengambil keputusan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA berkuatkuasa 1 Mac 2012.
- KKM memberikan tempoh masa satu (1) tahun kepada pihak industri untuk menghabiskan botol susu bayi polikarbonat yang sedia ada di pasaran tempatan.
- KKM dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Penerangan akan membuat hebahan secara meluas kepada kumpulan sasar serta mengedarkan bahan-bahan pendidikan kesihatan berkaitan perkara ini.
7. MENGAPA KKM MASIH MEMBENARKAN PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT SEHINGGA SATU (1) TAHUN WALAUPUN KESANNYA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA TELAH DIKETAHUI?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi.
KKM memberikan masa perubahan (transition period) secara berperingkat kepada semua pihak untuk ‘phasing out’ botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA. Tindakan ini adalah selari dengan tindakan negara-negara lain yang telah mengharamkan BPA.
8. KENAPAKAH PENGHARAMAN INI DIKENAKAN KE ATAS BOTOL SUSU BAYI SAHAJA?
Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi.
9. APAKAH LANGKAH BERJAGA-JAGA SEKIRANYA PENGGUNA MASIH MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Pengguna disarankan mengikut langkah berjaga-jaga seperti berikut :
- Steril botol susu bayi polikarbonat mengikut arahan pengendalian yang terdapat pada label atau yang diberikan oleh pengeluar sekiranya ada. Jika tiada, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama 5 hingga 10 minit.
- Elakkan menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
- Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus yang lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
- Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan sekiranya terdapat kesan calar atau rosak, botol susu perlu diganti. Sekiranya tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap 6 bulan.
- Namun begitu, pengguna juga boleh membuat pilihan awal dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat kepada botol susu bayi yang bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing.
10. APAKAH CARA TERBAIK UNTUK PENGGUNA SEKIRANYA MENGGUNAKAN AIR PANAS UNTUK MENYEDIAKAN BANCUHAN SUSU DALAM BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Bancuhan susu boleh disediakan terlebih dahulu di dalam bekas lain yang bersih dan selamat.
Sebagai contoh, bagi bancuhan susu sebanyak 150ml, masukkan lebih kurang 100ml air panas ke dalam bekas lain yang bersih dan selamat dan tambahkan susu mengikut sukatan. Bila bancuhan susu menjadi suam, masukkan ke dalam botol susu bayi polikarbonat dan tambahkan air suam sehingga menjadi 150ml.
11. APAKAH ALTERNATIF BOTOL SUSU BAYI YANG TERDAPAT DI PASARAN?
Terdapat pelbagai alternatif botol susu bayi di pasaran seperti yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone(PES), polyamides (PA) kaca dan lain-lain.
12. APAKAH NEGARA-NEGARA YANG TELAH MELARANG PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Negara-negara yang telah mengambil langkah awal mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan negeri New York di Amerika Syarikat. Perkembangan terkini adalah pengumuman pengharaman botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA oleh pihak Kesatuan Eropah.
13. APAKAH TINDAKAN YANG PERLU DIBUAT OLEH PENGGUNA SELEPAS 1 MAC 2012?
Walaupun tarikh penguatkuasaan ke atas pengharaman botol susu bayi polikarbonat di pasaran adalah pada 1 Mac 2012, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut kepada botol susu yang bebas BPA.
14. ADAKAH PUTING SUSU BAYI MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Puting susu bayi biasanya diperbuat daripada bahan seperti silikon dan getah yang tidak mengandungi BPA.
15. BAGAIMANA KEADAAN PENGGUNA YANG PERNAH ATAU TELAH LAMA MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi. Tindakan pengharaman ini juga diambil adalah berdasarkan penemuan dan perkembangan terkini.
Walau bagaimanapun, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut kepada botol susu yang bebas BPA bagi mengurangkan pendedahan terhadap BPA.
16. ADAKAH PERKAKASAN DAN BEKAS MAKANAN / MINUMAN BAYI SEPERTI PINGGAN, SUDU DAN CAWAN PLASTIK JUGA MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Perkakasan dan bekas makanan / minuman bayi biasanya diperbuat daripada bahan yang tidak mengandungi BPA seperti silikon, polypropylene, dan stainless steel.
17. ADAKAH BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT MENGANDUNGI MELAMIN YANG BOLEH BERPINDAH KE DALAM SUSU?
Tidak. Botol susu bayi polikarbonat tidak mengandungi melamin.
18. APAKAH CONTOH BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG DIPERBUAT DARIPADA POLIKARBONAT YANG MENGANDUNGI BPA SELAIN DARIPADA BOTOL SUSU BAYI?
Bekas makanan atau minuman yang biasanya diperbuat daripada polikarbonat adalah seperti botol menyimpan air (tumbler) dan bekas air guna semula.
19. KENAPA KKM TIDAK MENGHARAMKAN BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG DIPERBUAT DARIPADA BAHAN PLASTIK POLIKARBONAT? APAKAH TINDAKAN KKM SETERUSNYA?
Berdasarkan kepada pengetahuan masa kini dan bukti saintifik dari negara maju lain, tiada kesan terhadap kesihatan. Sehubungan itu tiada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan pengharaman ke atas bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat selain daripada botol susu bayi buat masa ini.
Semua bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat perlu mematuhi Malaysian Standard MS 2234:2009 – Plastic Materials and Articles Intended to Come into Contact with Food, di mana specific migration limit (SML) bagi BPA adalah pada paras 0.6 mg/kg (sama seperti negara EU).
KKM akan terus memantau produk-produk bekas makanan dan minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat di pasaran tempatan serta mengikuti perkembangan saintifik antarabangsa dari masa ke semasa berkaitan isu BPA ini.
14-03-2011
Lid: Masih belum terlambat...
k.lid,satu je tak faham..nape nak bagi pihak pengilang abeskan stok?baik trus haram kan je tak?ada ke pemborong nak beli kalu pembeli pun da takut nak beli.musykil jap..mgkn sbb orang2 susah kot kan.at least dorang ada panduan nak pakai botol2 ni macam mana..
ReplyDeletebtw,thanks info.saya baru faham keadaan sebenar.hehe.tau haram je.isinya lambat plak nak cari sendiri.hehe
heran kan..baru skrng nak haramkan..dh untung byk dh
ReplyDelete